PUNCA, KESAN DAN LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGATASI PENEBANGAN HUTAN DI MALAYSIA
PENGENALAN
Menurut Wikipedia (2021), alam sekitar merupakan segala benda atau bukan hidup wujud secara semula jadi di permukaan bumi ataupun sebahagian daripadanya. Alam sekitar adalah anugerah Tuhan yang amat berharga dan bernilai kepada semua kehidupan. Semua benda hidup telah banyak bergantung kepada sumber alam untuk meneruskan hidup serta memenuhi keperluan dan kehendak masing-masing. Alam sekitar yang bersih memberi kita suasana yang harmoni, selesa dan menyamankan. Tegasnya, apabila sesebuah negara semakin membangun maka populasinya akan semakin meningkat (Hasan, 2015). Hal ini menyebabkan kadar permintaan masyarakat semakin bertambah terhadap sesuatu keperluan dan gaya hidup yang lebih selesa. Sebagai contoh,tempat tinggal, kenderaan dan sebagainya. Alam sekitar kita telah terjejas akibat aktiviti-aktiviti pembangunan negara seiring perubahan zaman dan kemajuan pembangunan negara. Alam sekitar yang tidak dijaga semakin terancam dari semasa ke semasa dan tercetusnya pelbagai isu alam sekitar. Salah satu isu yang selalu berlaku dan membimbangkan penduduk tempatan adalah penebangan hutan. Penebangan hutan merupakan kegiatan membersihkan hutan untuk kegunaan atau tujuan lain. Justeru, masyarakat kini sedang menghadapi satu cabaran yang besar untuk menangani, memulihkan dan meminimunkan kesan negatif aktiviti manusia terhadap alam sekitar. Jom kita mempelajari bersama-sama tentang punca, kesan dan langkah-langkah untuk mengatasi isu penebangan hutan.
PUNCA UTAMA PENEBANGAN HUTAN
1.Peningkatan populasi
Peningkatan kadar penduduk di sesuatu kawasan telah menyumbang kepada isu penebangan hutan. Hal ini dikatakan demikian kerana permintaan penduduk tempatan akan semakin bertambah seiring dengan perkembangan ekonomi pesat dan teknologi yang kian canggih. Keinginan dan kehendak masyarakat kini terhadap sesuatu benda adalah semakin tinggi berbanding zaman dahulu. Sebagai contoh, perabot, permainan kayu dan sebagainya.
2. Perlombongan
Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan emas, arang batu, biji timah dan lain-lain. Oleh itu, aktiviti perlombongan di Malaysia giat dijalankan. Terutamanya berlaku di negeri Perak dan Selangor. Aktiviti perlombongan ini memerlukan satu kawasan atau tanah hutan yang luas. Syarikat perlombongan terpaksa menebang kawasan hutan supaya dapat membina lombong dan mengekstrak mineral.
3. Pembalakan
Penebangan hutan merupakan perkara yang kerap dan biasa dalam industri kayu. Tegasnya, pembalakan haram berlaku dengan membekalkan kayu yang berjumlah besar kepada industri kayu yang berasaskan kayu. Misalnya, industri kertas, perabot dan mancis. Pokok-pokok di hutan ditebang untuk memenuhi permintaan bekalan. Sebahagian besar industri kayu yang berkembang maju terlibat dalam pembalakan haram dan penabangan pokok. Selain itu, pembalakan biasanya dilakukan untuk mendapatkan kayu balak seperti cengal, meranti dan keruing.
4. Penanaman / Pertanian
Kini, kebanyakan kawasan hutan telah ditebang dan dijadikan sebagai ladang pertanian. Tanah yang luas diperlukan untuk melakukan aktiviti pertanian. Contohnya, membajak, menanam padi dan sebagainya.
5. Urbanisasi
Urbanisasi didefinisikan sebagai satu proses perubahan kawasan dari luar bandar ke bandar. Urbanisasi biasanya berlaku di kawasan maju ataupun bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Kuching (Sarawak), Johor Bharu (Johor),. Hal ini akan menyebabkan pertambahan jumlah penduduk, perluasan saiz bandar dengan menambah bangunan, kediaman serta kemudahan infrastruktur. Kawasan bandar kekurangan kawasan pokok kerana semua kawasan pokok tersebut telah ditebang untuk pembinaan rumah dan perindustrian.
6. Pembinaan lebuh raya
Aktiviti pembinaan lebuh raya melibatkan proses penerokaan hutan dan sudah tentu penebangan hutan tidak dapat dielakkan. Semasa melalui jalan gunung, kita boleh lihat dengan jelas bahawa banyak pokok dan tumbuh-tumbuhan telah ditebang demi pembinaan lebih raya. Hal ini turut akan menyebabkan kejadian tanah runtuh. Struktur tanah menjadi longgar apabila kekurangan akar pokok yang mencengkam tanah.
Kuiz:
https://quizizz.com/join/quiz/64941f77295adf001d841770/start?studentShare=true
KESAN-KESAN PENEBANGAN HUTAN
(a) Kemarau
Kemarau boleh didefinisikan sebagai satu tempoh cuaca yang kering melampau/ berpanjangan. Tuntutan pembangunan yang mendesak telah menyebabkan kawasan hutan ditebang bagi pembangunan perindustrian dan penempatan. Apabila hutan diterokai dan ditebang, maka persekitaran kawasan tersebut akan menjadi sangat panas. Diketahui secara umum, tumbuh-tumbuhan membekalkan oksigen kepada manusia dan udara yang nyaman. Oleh itu, pokok-pokok semakin berkurang akan menyebabkan sekitar menjadi kering-kontang.
(b)Tanah Runtuh
Penebangan hutan dan pembalakan akan menyebabkan kejadian tanah runtuh. Aktiviti pembalakan telah mengakibatkan struktur tanah menjadi longgar dan tidak stabil, terutamanya di cerun bukit. Hujan lebat akan menggalakkan kejadian tanah runtuh di kawasan tersebut (Nizam, 2019).
(c) Kepupusan flora dan fauna
Pembalakan dan penebangan hutan yang semakin berleluasa akan menyebabkan kemusnahan kawasan hutan. Tumbuh-tumbuhan dan haiwan liar akan mengalami kepupusan disebabkan kehilangan habitat. Hal ini disebabkan hutan membekalkan sumber makanan bagi manusia, flora dan fauna. Kehilangan habitat menyebabkan haiwan tidak dapat mengakses makanan.
(d) Banjir kilat
Hutan memainkan peranan yang penting untuk dijadikan kawasan tadahan air hujan dan menyimpan limpahan air hujan. Hutan dianggap sebagai span semula jadi untuk menyerap air hujan. Hal ini dikatakan demikian kerana, struktur tanah yang berakar tunjang dan menjalar dengan berbagai jenis saiz bertindak sebagai jaringan konkrit untuk mencengkam struktur tanah (Kamarudin, 2021).
(e) Lapisan ozon
Penebangan hutan tanpa kawalan membawa kesan negatif kepada lapisan ozon. Lapisan ozon berperanan untuk melindungi manusia daripada radiasi ultraviolet yang berbahaya daripada matahari. Jika pokok-pokok ditebang, perlindungan juga akan dikurangkan. Akibatnya, lebih banyak sinar ultraviolet boleh mencapai ke permukaan bumi lalu menyebabkan masalah kesihatan kepada manusia dan haiwan.
(f) Kesan rumah hijau
Tumbuh-tumbuhan memainkan peranan yang penting bagi mewujudkan dan mengekalkan keseimbangan karbon dioksida dan oksigen yang ada di atmosfera. Dengan itu, keseimbangan ini telah terjejas kerana aktiviti penebangan hutan semakin tidak terbatas. Kehilangan berjuta-juta pokok dan kemusnahan hutan menyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau ke atmosfera yang merupakan sebab utama pemanasan global.
Video mengenai kesan penebangan hutan di Youtube:
Kuiz:
https://quizizz.com/admin/quiz/64944837af6ed6001d172d7d?source=quiz_share
LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENANGANI ISU PENEBANGAN HUTAN
i. Penguatkuasaan undang-undang
Pihak berkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar haruslah memperkenalkan dasar dan polisi untuk melindungi alam sekitar. Pada masa yang sama, undang-undang negara juga perlu diperketatkan. Pihak berkuasa seharusnya mengambil tindakan terhadap pesalah yang menebang hutan tanpa kawalan dan pembalakan haram. Contohnya, dendaan dari segi wang ataupun dipenjarakan. Pemantauan yang berkala juga perlu dilaksanakan supaya hutan dijaga dengan baik dan pesalah tidak terlepas dari mata pihak berkuasa.
ii. Penghutanan semula
Penghutanan semula merupakan salah satu langkah yang berkesan untuk mengatasi masalah penebangan hutan. Kita boleh menanam semula hutan yang telah ditebang dengan spesis-spesis pokok yang bermutu tinggi dan cepat tumbuh. Contohnya, tumbuh-tumbuhan seperti batai dan sentang. Aktiviti penghutanan semula dapat mengelakkan daripada kepupusan spesis hutan.
iii. Sukarelawan / Derma wang
Kita juga boleh melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan yang telah dianjurkan oleh kerajaan, badan bukan kerajaan dan lain-lain untuk menanam semula pokok-pokok di kawasan hutan yang telah dimusnahkan. Bukan itu sahaja, kita juga boleh menderma wang mengikut keikhlasan diri kita bagi menyokong aktiviti tersebut.
iv. Mengamalkan kitar semula
Kita boleh mengatasi isu penebangan hutan dengan mengamalkan kitar semula. Kitar semula dikenali sebagai menggunakan bahan-bahan yang terpakai dengan menjadikan bahan lain yang berguna dan bermanfaat. Setiap individu sewajarnya mengamalkan amalan 5R dalam kehidupan seharian kita. Tidak dapat dinafikan bahawa, bahan yang digunakan untuk menghasilkan kertas adalah pokok kayu. Dengan ini, permintaan pengguna terhadap kualiti kertas adalah berbeza. Secara tidak langsung, ia melibatkan penebangan hutan berlaku bagi mencapai permintaan pengguna. Justeru, bahan-bahan seperti alat elektronik yang tidak boleh berfungsi, surat khabar, kaca dan sebagainya haruslah disumbangkan kepada pengusaha kitar semula.
v. Kempen kesedaran
Kempen kesedaran secara berterusan tentang isu alam sekitar perlu dilaksanakan. Hal ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada penduduk tempatan bahawa betapa pentingnya pokok/ hutan kepada semua kehidupan. Kempen ini boleh dilaksanakan mahupun secara bersemuka ataupun dalam talian. Masyarakat haruslah bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk menyelesaikan isu penebangan hutan. Contohnya, kita boleh memuat naik maklumat tentang isu penebangan hutan di media sosial untuk menarik perhatian orang ramai. Selain itu, penduduk tempatan juga haruslah memikul tanggungjawab dengan melaporkan segera kepada pihak berkuasa apabila didapati pesalah yang menebang hutan tanpa lesen.
vi. Mewartakan hutan simpan
Pihak berkuasa boleh mewartakan hutan simpan melalui Akta Penghutanan 1984. Hal ini dapat memberi perlindungan kepada hutan daripada ancaman. Contoh-contoh hutan simpan yang telah dibangunkan di Malaysia adalah Hutan Simpan Kekal di Kuantan dan Taman Negara di Gua Musang, Kelantan.
Video mengenai langkah untuk mengatasi isu penebangan hutan di Youtube:
Kuiz:
https://quizizz.com/admin/quiz/649596ecabd799001da4d92d?source=quiz_share
KESIMPULAN
Secara tuntasnya, hutan merupakan benteng kepada bencana alam seperti tanah runtuh, pencemaran alam serta gangguan fizikal yang lain. Oleh itu, semua pihak sewajarnya menghargai hutan yang merupakan khazanah yang amat tinggi nilainya. Kita haruslah bersyukur kerana dilahirkan di negara yang dikelilingi dengan hutan malar hijau. Penebangan hutan tanpa kawalan tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan rakyat yang cinta akan alam dunia dan negara. Marilah kita bagai aur dengan tebing untuk mengatasi isu penebangan hutan di Malaysia.
Berikut adalah video yang saya rakam dan memuat naik dalam Youtube, berkenaan dengan punca, kesan dan langkah mengatasi penebangan hutan di Malaysia:
Comments
Post a Comment